Tuesday 15 November 2016

PADA YANG GELI RUGI - IBU TUNGGAL MENTERNAK LINTAH KERANA PERMINTAAN TINGGI DAN HASIL LUMAYAN

"Orang Serik, Saya Baru Mula"
Naziah Bersama Tong-Tong Ternakan Lintahnya
Bagi kebanyakan wanita, mendengar nama lintah sahaja sudah membuatkan mereka geli, apatah lagi hendak memegangnya.

Namun, Naziah Husin, 52, bukan sahaja tidak takut, malah menjadikan lintah sebagai sumber rezekinya. Sejak dua tahun lalu, ibu tunggal kepada dua anak ini gigih menjadi usahawan lintah.

Selain menjadi peraih lintah bagi sebuah syarikat pengeluar produk kesihatan beribu pejabat di Kanada, dia juga mula menjinakkan diri dengan ternakan lintah.

Menurut Naziah, walaupun banyak projek ternakan lintah menemui kegagalan sebelum ini, perkembangan terkini meyakinkannya bahawa lintah ada potensi untuk dimajukan.
Malah, selepas dua tahun menceburi bidang ini, dia mengakui pulangannya agak lumayan.

“Memang benar, sebelum ini ramai pengusaha lintah gulung tikar kerana masalah pemasaran. Ketika itu, lintah diternak tidak dapat dijual kerana tiada yang mahu membeli.

“Akibatnya penternak lintah kerugian dan projek yang sebelum itu mendapat sambutan berkubur begitu sahaja.

“Namun, sejak dua tahun lalu, sebuah syarikat produk kesihatan berasaskan lintah di Kanada datang ke Malaysia untuk mencari bekalan lintah. Malah, mereka membuka cawangan di Kuala Lumpur semata-mata untuk mendapatkan bekalan,” katanya.
Menurutnya, syarikat ini memerlukan kira-kira 90,000 ekor lintah sebulan tetapi berikutan kegagalan sebelum ini, ramai penternak lintah serik dan tidak mahu menceburi bidang itu lagi.

“Saya difahamkan syarikat itu setakat ini hanya mampu mengumpul 50,000 ekor lintah sebulan. Ini menunjukkan ruang untuk memajukan semula perusahaan ini masih luas,” katanya.
Naziah berkata, sebagai langkah awal dalam bidang ini, dia menjadi peraih dengan mencari lintah di seluruh pelosok negara dan membekalkan kepada ejen yang dilantik syarikat antarabangsa itu.

Menyedari dia akan mendapat pulangan lebih lumayan jika menternak sendiri, Naziah mengorak langkah dengan menternak lintah di dalam sebuah bangsal berhampiran rumahnya di Rawang, Selangor.

Setakat ini, dengan modal terhad, Naziah menyediakan 10 tong bersaiz sederhana dan tiga tangki besar yang dapat menghasilkan 3,000 ekor lintah daripada 100 ekor induk.

Pada masa sama, Naziah tetap meneruskan tugasnya sebagai peraih dengan ‘memburu’ lintah di seluruh negara sama ada melalui pengusaha atau mencari lintah liar di lokasi tertentu.
“Sebagai peraih, saya memperoleh komisen antara 10 hingga 20 sen untuk seekor lintah. Tapi, jika saya menternak sendiri, keuntungannya 100 peratus.

“Walaupun masih perlu menjual melalui ejen dilantik syarikat itu, pendapatan sebagai penternak lebih lumayan berbanding peraih.

“Ini kerana menternak lintah tidak memerlukan perbelanjaan tinggi. Selain modal awal menyediakan tempat dan peralatan, boleh dikatakan tiada kos untuk makanan lintah kerana ia hanya makan rumpai air seperti akar kiambang.
“Cuma, untuk tumbesaran pada awal usia, kita perlu memberi ia makan ikan keli atau belut sekali sebulan. Selebihnya, lintah sangat mudah diternak kerana ia hanya memerlukan tempat gelap dan sejuk serta air bersih,” katanya.

Naziah berkata, lintah akan diasingkan mengikut saiz dan mencapai usia matang pada umur tiga bulan. Seekor lintah matang boleh mencapai saiz sebesar puntung rokok dan menurut kajian ia hanya boleh hidup selama dua tahun.
Naziah bercadang membesarkan perusahaan ternakan lintah dengan menyediakan peralatan lebih moden berbanding sekarang yang dianggapnya masih di peringkat percubaan.

“Sebelum ini, saya melakukan pelbagai pekerjaan untuk mencari rezeki. Tapi sejak menjadi usahawan lintah, taraf hidup saya lebih baik.

“Dulu, saya juga takutkan lintah tapi sekarang sudah jadi macam kawan, saya boleh memegang lintah seolah-olah sedang bermain dengan ikan,” katanya. 

Tips/Petua: ELAK PANCUT AWAL MALAM PERTAMA


Anda Juga Mungkin Berminat: